Wanita “REKA” cerita Anak lemas di sungai..! (foto)

KUANTAN: Polis mengesahkan kejadian seorang suri rumah dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di FELDA Jengka 15, Maran semalam, sebagai palsu…

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman, berkata dakwaan kononnya wanita berusia 38 tahun itu terjatuh dari jambatan ketika memancing bersama ibu kira-kira jam 4.15 petang, tidak benar manakala laporan palsu berkenaan dibuat keluarganya.

Beliau berkata, wanita itu sebenarnya cuba membunuh diri namun berjaya dipujuk ahli keluarga.

Difahamkan, dia berbuat sedemikian kerana mengalami masalah dengan suaminya.

“Siasatan mendapati wanita itu tinggal bersama ibu di FELDA Jengka 15 sejak dua bulan lalu, manakala suami dan empat anaknya menetap di Raub.

“Bagaimanapun pagi tadi, keluarga wanita itu sudah tampil membuat laporan bahawa laporan dibuat semalam adalah palsu.

“Susulan itu, kita melakukan siasatan dan mendapati wanita berkenaan selamat. Dia sudah dibawa ke Balai Polis Jengka untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Norzamri berkata, wanita itu kini dalam keadaan trauma dan polis akan merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan khidmat kaunselor sebelum siasatan lanjut diteruskan.

“Kita menyiasat kes ini mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berdasarkan laporan polis semalam, wanita itu dikatakan memancing di sungai di bawah jambatan bersama ibunya.

Menurut laporan itu, ibu mangsa terdengar bunyi sesuatu jatuh ke dalam air sebelum mendapati anaknya berada di dalam air dan meminta ibunya mengambil kayu.

Ibu mangsa mendakwa cuba mencapai anaknya, sebaliknya hanya dapat menarik tudung mangsa sebelum tenggelam lalu dikatakan dibawa arus sungai.

Berikutan laporan itu, operasi mencari dilancarkan polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), yang kemudian dihentikan pagi tadi selepas dimaklumkan mangsa sebenarnya tidak lemas.

Sumber: BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *