Taktik Baru Pencuri! Sapu Losyen Sebelum Curi Di Subang Jaya.

Subang Jaya: Seorang lelaki kerugian lebih RM3,000 selepas beg sandang dilarikan beberapa lelaki warga asing ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Bandar Sunway, di sini, Jumaat lalu.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 20-an itu dikatakan baru saja menukar wang tunai mata wang asing sebelum menyedari belakang baju dan tangannya terdapat cecair dipercayai losyen.

 

Menurut sumber, mangsa kemudian ke tandas untuk mencuci kotoran berkenaan.

 

“Ketika berada di tandas, mangsa meletakkan beg sandangnya berhampiran sinki. Dia kemudian dihampiri seorang lelaki dipercayai warga asing berdasarkan cara percakapannya yang kononnya mahu membantu mangsa membersihkan kotoran itu.

“Pada mulanya mangsa menolak bantuan itu namun dia tetap membantu sebelum mangsa menyedari ada dua lagi lelaki masuk ke tandas dan berdiri berhampiran beg sandang berkenaan,” katanya.

 

Sumber berkata, sebaik selesai mencuci kotoran terbabit, dia menyedari beg sandangnya yang diletakkan di sinki hilang termasuk kelibat ketiga-tiga lelaki berkenaan yang dipercayai sudah keluar beberapa minit sebelum itu.

 

“Mangsa memaklumkan perkara itu kepada pengawal keselamatan di pusat beli-belah berkenaan. Mangsa mengesyaki cecair dipercayai losyen itu diletakkan oleh individu sama yang melarikan beg sandangnya.

 

“Lelaki itu kehilangan wang tunai RM200 dan komputer riba yang dianggarkan bernilai RM3,000,” katanya yang memaklumkan mangsa turut memuat naik status berhubung kejadian itu di Facebook.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu. – BHOnline

Leave a Reply