Akhirnya, Penjual Permainan Mesin Mengaku Menipu Pelanggan Supaya Mesin Ini Tidak Akan Boleh Dimenangi. Siapa Pernah Terkena Dengan Mesin Seperti Ini?

Hasil siasatan permainan kren yang pertama di Jepun menunjukkan bahawa arkid ini menggunakan helah rahsia dalam penetapan alatnya supaya hadiah hanya akan boleh dimenangi dengan demonstrasi daripada pekerja.

Sesiapa yang pernah mencuba nasib untuk memenangi hadiah-hadiah comel dalam permainan ini pasti mengetahui betapa sukarnya untuk mendapatkan ganjaran di dalam kotak mesin tersebut.

Namun, kita semua sedar bahawa cara permainannya amat mudah iaitu dengan menggerakkan posisi kren ke arah permainan dan menekan butang supaya kren tersebut dapat mengambil hadiah di dalamnya. Tetapi mengapa susah sangat untuk memenanginya?

Sebenarnya, kesemua alat permainan kren ini telah diubah supaya tiada seorang pun yang akan memenanginya!

Pada 23 Disember lalu, para pegawai di Jabatan Polis Osaka telah menahan Takeshi Ohira, 33 tahun. Takeshi merupakan pemilik kepada rantaian arkid yang dikenali sebagai Amusement Trust yang terletak di Osaka dan Kyoto, Jepun.

Selain Takeshi, pihak polis turut berjaya menahan lima lagi pekerjanya yang berusia antara 25 hingga 36 tahun. Hasil siasatan mendapati mereka telah mengubah ketetapan pada semua permainan kren tersebut dengan tujuan untuk membuatkan kebarangkalian individu memenangi sesuatu ganjaran adalah sedikit.

Dalam erti kata yang lain, mereka sengaja mencipta permainan tersebut supaya ianya sukar dimenangi oleh sesiapa pun.

Pelbagai model dan versi permainan kren seperti ini telah diubah termasuklah salah satu permainan yang meminta pemain untuk menggunakan gunting bagi memotong tali yang memegang hadiah tersebut. Lihat video di bawah.

 

Pihak berkuasa turut mendakwa bahawa para pekerja memainkan peranan dengan memberikan galakan kepada pemain untuk meneruskan permainan walaupun pada hakikatnya, mereka tetap akan kalah.

Mereka memberikan galakan dengan kata-kata seperti, “Rugi kalau awak berhenti sekarang”. Malah, jika pemain mula merasa kecewa dengan kekalahan yang berterusan, para pekerja ini akan memberikan demonstrasi tentang teknik permainan yang berkesan.

Pekerja akan membuka panel kawalan dalaman secara rahsia yang membolehkan mereka menunjukkan bahawa permainan tersebut boleh dimenangi dengan mudah. Setelah itu, mereka akan meminta pelanggan untuk meneruskan permainan sementara mereka menutup semula panel kawalan berkenaan.

Dengan cara ini, pelanggan akan terdorong untuk berusaha memenangi permainan kren ini walhal mereka tidak akan boleh memenanginya selagi panel kawalan berkenaan ditutup.

Di Jepun, kebanyakan permainan kren memerlukan pemain membayar antara RM3 hingga RM7 bagi setiap permainan namun di Amusement Trust, mesin permainan kren ini telah menipu individu dengan perlu membayar sebanyak RM18 hingga RM360 bagi setiap percubaan.

Pengguna juga digoda dengan tawaran hadiah yang amat lumayan berupa ‘hoverboard’, permainan video dan juga barangan yang kurang bernilai seperti patung haiwan.

Serbuan berkenaan hanya dilakukan oleh pasukan polis pada minggu lalu selepas menerima lambakan aduan daripada para pelanggan. Pihak polis turut menganggarkan kerugian sebanyak RM216,550 telah dialami oleh pelanggan sejak beroperasi pada tahun 2015 lagi.

Takeshi bagaimanapun menafikan kesemua dakwaan yang menyatakan dia telah memberikan arahan kepada para pekerja untuk mengubah mesin berkenaan agar tidak boleh dimenangi. Akan tetapi, kelima-lima pekerja yang ditahan mengakui kesilapan mereka dan mendakwa mereka telah menerima arahan daripada Takeshi untuk berbuat demikian.

Menurut salah seorang pekerja yang menguruskan cawangan di Osaka, dia pernah melihat seorang pelanggan menghabiskan wang melebihi RM10,000 hanya kerana ingin memenangi hadiah lumayan di dalamnya.

Kejayaan pihak polis dalam serbuan yang menyasarkan penipuan dalam permainan kren di Jepun ini mungkin akan mendorong kepada pengawasan permainan arkid lain yang mungkin turut menjalankan taktik kotor yang sama demi mengaut keuntungan segera.

 

Lihat Video : 

 

 

Sumber: Yahoo! News Japan / Mainichi Shimbun via Era Baru

Leave a Reply